Skip to content

Dirikan Dulu Kerajaan Perpaduan Dengan Konkrit Niat.

Jun 14, 2009

Masih berlegar pada isu yang sama. Kerajaan Perpaduan. Apabila perkara murni untuk kemaslahatan Umat dipolemikkan oleh mereka yang sudah hilang nilai tanggungjawab. Yang menyedihkan aku, golongan pemimpin berilmu yang selama ini menjadi sandaran dan panduan kini jadi bahan kejian dan makian. Islam jadi pakaian bukan lagi pengisian. Akhlak sesetengah golongan yang selama ini mendakwa pendokong perjuangan di jalan Tuhan sungguh ironi dan sukar diterima.

Aku ingin kita semua bersikap terbuka. Mungkin kita boleh mulakan dengan membina niat yang konkrit.  Kita lakukan permuafakatan kerana satu pegangan. ‘Kerana Tuhan, Untuk Perjuangan’. Aku ingin berkongsi mutiara ilmu seseorang yang aku kira bebas dalam isu ini. Tidak menyokong mana-mana pemimpin yang bertelagah atau parti yang terlibat. Kita fikirlah dengan hikmah, pandang dengan mata hati dan telusuri dengan jiwa suci.

Ikuti pandangan Dr. Asri, klik di sini.

p/s: aku sedih, tokoh-tokoh pemimpin yang aku kagumi dicerca dan dimaki oleh ‘pejuang-pejuang’ Islam…

Advertisements

Moga Dipermudah

Jun 14, 2009

Di Debat Perpaduan 2009 ini, moga Allah permudahkan hasrat aku mencapai impian yang terbuku. Esok, pasukan aku akan bertemu dengan UPSI di peringkat suku akhir. Jika berjaya, pasukan aku akan bertemu dengan UiTM atau UTeM di peringkat separuh akhir. Mungkin bumi Kenyalang menjanjikan sinar gemilang. InsyaAllah. Semoga yang terbaik akan menjadi milik kami. Aku, Syam, Tai Boon dan Amar.

“Ya Allah, semoga Kau permudahkan segala-galanya! Amiinn…”

Berbeza warna kulit tapi tetap sama pada matlamatnya.

p/s: tetap berdebar..

Angin

Jun 12, 2009

Angin yang menderu
Menyimbah segar ke jasadku
Damai dan seronokpun berlagu
Tapi angin itu sudah berlalu
Aku tunggu

Sungguh
Sudah datang angin yang baru
Tapi bukan angin yang itu
Angin yang aku rindu

Angin dulu pergi
Deruannya aku cari
Benar aku cari
Angin yang pernah suci

Tapi angin yang kini
Tidak lagi

-fakirullah-

p/s: oh angin… moga kembali.

Angin Lalu..

Jun 12, 2009

Tiada apa yang boleh dibaca. Kerana sifat angin hanya boleh dirasa. Hatta mata tidak mudah menangkapnya.

p/s: sifat angin..

Sabar Menunggu

Jun 11, 2009

Waktu ini aku sedang berada di LCCT, menunggu penerbangan ke bumi Kenyalang. Aku dan rakan-rakan membawa nama Universiti untuk berjuang dalam Pertandingan Debat Perpaduan Intervarsiti 2009. Penerbangan yang  dijadualkan berlepas pada pukul 12.55 ditunda ke jam 3.40 petang. Oh, lama lagi.

Apresiasi buat Syarikat Air Asia! Kalian mendidik aku erti sabar menunggu. Nasib baik perkhidmatan internet tanpa wayar disediakan. Tidaklah aku menanggung kebosanan.

p/s: lalala…

Saksikan

Jun 10, 2009

Sesiapa yang sudah mengenali Fakir atau ingin mengenali. Tontonlah rancangan bualbicara Suara Siswa di RTM1, Selasa ini bertarikh 17 Jun 2009, jam 9 malam. Fakir adalah golongan siswa dan juga marhaen biasa yang cuba berkongsi rasa dan pendapat dari sudut pandang seorang siswa.

Semoga yang baik itu akan dapat dihayati dan sama-sama dimplimentasi. Pada masa yang sama, kedhaifan fakir moga dimaafkan dan tidak menjadi teladan. Dengan tajuk “Samseng Jalanan/Mat Rempit: Bagaimana Mahasiswa Menangani?”, Fakir merasakan topik ini tidak dikupas secara mendalam kerana kekangan masa yang tidak mengizinkan. Adapun begitu, masih ada bingkisan ilmu yang sempat disampaikan untuk sama-sama dijadikan renungan.

Dalam bualbicara ini, Fakir meminjam gelaran “Presiden Kelab Debat UPM”  walaupun sebenarnya jawatan ini sudahpun bertukar tangan. Ammar, maafkan aku kerana meminjam gelaran ini. Yakinlah bahawa aku sebenarnya tidak gila kuasa.hehe.

p/s: Alhamdulillah. Pengalaman baru yang menyeronokkan. Saksikanlah….(sila nyanyi dengan nada Iwan dalam lagu “Memori Daun Pisang”)

Suara Siswa

Jun 10, 2009

Aku akan ke UiTM Shah Alam sekejap lagi. Jika tiada aral melintang, malam ini akan diadakan rakaman Rancangan TV, Suara Siswa untuk siaran RTM1. Aku menerima pelawaan rakan karib menjadi salah seorang ahli panel. Tajuknya berkenaan Mat Rempit dari sudut pandang seorang mahasiswa. Tarikh rakaman ini keudara akanku maklumkan semula.

p/s:aku tidak benci Mat Rempit..