Lompat ke isi kandungan

Setangkai Al-Fatihah buat ayah…

April 17, 2008

 

Waktu itu aku masih di sekolah rendah. Ada kenduri saudara di Kuala Ibai. Ibu dan kakak sudah pergi dulu, menumpang kereta saudara. Aku membonceng motosikal ayah. Tangan aku tak lepas memeluk erat batang tubuh ayah, bimbang kalau-kalau terjatuh. Padahal ayah pandu motosikal perlahan dan memang tak pernah laju. Kami melalui jalan kampung.

 

Dalam perjalanan ayah berhenti di sebuah kedai kopi. Teh panas untuk aku ayah tuangkan dalam piring cawan bagi cepat suam. Bimbang mulut aku melecur. Itulah yang akan ayah buat tiap kali kami minum di warung. Ayah tak pernah lupa.

 

Ketika menyambut raya pada usia 5 tahun. Aku ikut ayah dan Pak Lang beraya. Naik lori kecil milik Pak Lang. Lori yang sama pernah memuatkan lembu milik ayah, Pak Lang dan atuk. Hari itu ayah belikan aku Tora. Bukan hanya sekotak kecil. Tapi sebungkus besar yang biasa tergantung di kedai runcit. Selain biskut coklat, gasing yang berpusing sendiri bila ditekan ada dalam setiap kotak. Aku berikan juga pada saudara lain yang sebaya. Ayah ajar aku jangan kedekut. Ayah memang tak pernah lupa ajar aku jadi pemurah.

 

Seingat aku itulah antara waktu yang pernah ayah belikan aku mainan selain belon plastik Garfield ketika di Pesta Pantai Batu Buruk. Ayah tak galakkan aku beli mainan. Bahkan ayah tak pernah lupa ingatkan aku betapa berharganya wang.

 

Semasa Abang Nuar, abang paling sulung bekerja di KL, aku diserang demam yang teruk. Waktu itu semua ahli keluarga sudah tidur. Aku muntah. Habis kena kelambu. Tiba-tiba ayah muncul dan papah aku ke ruang tamu. Baringkan aku atas tilam nipis beralas plastik. Ayah bersihkan muntah aku. Tak pernah ayah mengeluh dan mengadu. Hanya kata-kata doa agar aku cepat sembuh bermain di bibir ayah. Kemudian ayah tinggalkan aku sebentar, datang kembali dengan air daun bunga raya.

 

Sambil picit kepala aku, ayah tuangkan air daun bunga raya perlahan-lahan. Ayah lap cepat-cepat air itu yang hampir mengalir masuk ke telinga aku. Segar sekali aku rasa sesegar kasih dan cintanya ayah pada aku dan semua ahli keluarga. Kalaulah ada peluang, hendak sangat aku merasa saat berharga itu sekali lagi.

 

Tapi semua itu dulu. Kini ayah sudah pergi. Menyambut kewajipan buat setiap makhluk bernyawa. Kematian yang pasti akan tiba. Rindunya aku akan wajah ayah. Rindu akan hilai tawanya bersama helaan lelah, penyakit yang meragut nyawa ayah. Aku rindukan tengking ayah pada adik bongsu. Aku rindukan minum di warung bersama ayah. Rindu hendak membonceng motosikal bersamanya ke pasar. Rindukan telapak tangannya yang singgah di badan apabila aku degil. Aku juga rindu nak mendengar suara ayah marah. Aku ridukan segala-galanya tentang ayah..

 

24 November 2004, aku menjaga ayah selepas beberapa hari dia di hospital. Waktu itu bulan Ramadhan pertama aku selepas bergelar mahasiswa, ayah terpaksa dibawa ke sana. Kakak menghantarnya selepas ayah mengadu sakit dada. Seharian aku menjaganya lalu pulang ke rumah untuk berbuka. Kak Aliza  menggantiku menemani ayah.

 

Jam 4.20 pagi, Kak Aida menerima panggilan daripada kakak pertama. Khabarkan tragedi pilu buat kami sekeluarga. Dia lantas berlari ke bilik ibu, menangis dan berteriak, “ayah sudah tidak ada!”. Aku yang tidur di ruang tamu terjaga dan berlari kepadanya. Kami berpelukan bersama ibu. Mutiara jernih di mata kami sudah tak tertahan lagi, mengalir deras tanpa henti. Besarnya dugaan Allah kali ini hingga degup jantung aku terasa seakan terhenti. Seperti tiada lagi esok untuk kami.    

 

Bersama ustaz, aku dan semua abang mandikan jasad kaku ayah. Aku alirkan air ke kepala dan seluruh jasadnya. Selama aku masih kecil, ayah mandikan aku. Kini giliran aku melakukannya, jasa terakhir untuk ayah. Kami kafankan jenazah ayah bersama. Aku ingat lagi, itulah kali terakhir aku sempat mengucup pipi dan dahi ayah. Kali terakhir aku menatap wajah kasih ayah. Haruman air mawar yang aku cium akanku abadikan dalam memori hingga akhir hayat ini.

 

Aku di belakang abang-abang dan orang kampung mengusung jenazah ayah ke masjid. Selepas disembahyang, jenazahnya dikebumikan. Hujan renyai turun mengiringi talkin dan doa untuk ayah. Biarpun tak selebat air mata aku yang enggan berhenti mengalir, aku mengharapkan rahmat tuhan mengiringi sebuah pemergian.       

 

Ayah pergi buat selama-lamanya tinggalkan kami semua. Ayah tinggalkan kasih, cinta dan kenangan mesra. Ayah wariskan kepada aku nilai akhlak yang mulia. Semua yang cukup untuk kami adik beradik kekal bersama. Tak perlu bertelagah rebutkan harta pusaka kerana ayah hanya kaya budi dan jasa, kaya dengan kasih sayang dan cinta.

 

Segulung diploma aku tak sempat ayah tatap saatnya mekar. Apatah lagi segulung ijazah yang sedang aku kejar. Tak mengapalah, 18 tahun bersama ayah sudah cukup mengajar aku betapa berharganya seorang bapa, berharganya sebuah kehidupan berkeluarga. Rindu aku pada ayah takkan berakhir, seperti juga doa aku buatnya. Ayah adalah permata yang kekal sinarnya. Sinar kasih dan cinta yang kekal sampai bila-bila. Aku wakilkan doa dan nisan buat ayah sebagai peneman. Cuti semester mendatang aku akan pulang. Akanku ziarah kubur ayah setelah beberapa purnama aku tinggalkan..  

 

Setangkai al-Fatihah buat ayah

Moga tenang di alam barzakh

Ku damba pertemuan di syurga indah….

            

-Allahyarham Abd Rahman bin Endut

-25 November 2004

-Kuala Terengganu, Terengganu

 

 p/s: Hargai ibu dan bapa selagi ada, jadilah anak yang bertanggungjawab semasa ada dan selepas ketiadaan mereka. Anak soleh pewaris paling bermakna….

Advertisements
23 Komen leave one →
  1. Insan Kerdil permalink
    April 18, 2008 12:45 am

    Janganlah kau bersedih. Segalanya merupakan dugaan untuk kita sebgai manusia.

    fakir:betul…life must go on;)

  2. April 18, 2008 1:53 am

    Anda mengenangkan saya pada peristiwa yang hampir sama.

    fakir:oh ya ke??same2lah doakan untuk ketenangan arwah mereka…

  3. redapples permalink
    April 18, 2008 6:05 am

    fakir seorang yang tabah… entri ni ajar aku utk apreciate ‘abah’ aku… tq

    fakir: memang itulah niat fakir, semoga setiap daripada kita akan lebih menghargai tatkala masih memiliki

  4. hazri87 permalink
    April 18, 2008 6:21 am

    Setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati. Itu janji-Nya. Tunggu saja bila giliran kita. Allahu Akbar.

    fakir: bersedialah dengan amal mulia…moga syurga idaman menjadi nyata. insya ALLAH:)

  5. En. Rudy permalink
    April 18, 2008 7:12 am

    Amir, abang sudah link.

    Amir, airmata ini. berjeda-jeda. hati bagai diruntun dgn tulisan rindu kpd ayah ini. tabahkan hati. sedekahkan alfatihah banyak2 hingga lerai rindu itu dengan rahmat tuhan.

    fakir: insya Allah…moga kematian menjadi pengajaran berguna buat yang masih bernyawa

  6. April 19, 2008 1:43 am

    terasa sayu ngilu dalam hati ketika membaca ini.

    tapi terasa ingin pula merasakan kasih ayah yang tak pernah aku rasakan.

    fakir: sabarlah saudara…
    ingatlah, anak yatim adalah golongan yang diangkat darjatnya
    -lebih mudah untuk bergelar anak soleh dengan hanya berbekalkan doa
    -banyak hikmah tersembunyi pada setiap taqdir Ilahi

  7. April 19, 2008 3:45 am

    al-fatihah.

    beberapa minit sebelum baca entri ini,aku mendapat panggilan dari ayahku.

    sebak tiba-tiba.

    fakir: hargai yang masih ada…anak soleh jadikan cita-cita

  8. April 20, 2008 2:11 am

    Sampai di sini dari blog Bluehikari. Tanpa sedar airmata mengalir. Terlalu banyak dosa sekarang dengan Bapak.

    fakir: Saya juga tak henti mengalirkan air mata sepanjang entri ini ditulis. Kasih seorang anak. Apapun, kalau ayah masih ada, mohon maaflah dengan segera. Hormat dan taat itulah paling utama. Kalau beliau sudah pergi dulu, kirimkan doa sebagai tanda anak setia.. 🙂

  9. Xyna permalink
    April 20, 2008 12:10 pm

    Itulah ayah kan? Dalam garang dan marahnya sarat dengan kasih sayang yang hanya akan kita sebagai anak memahami bila kita sendiri sudah punya anak. Dan selalunya kesedaran dan kefahaman itu datang terlalu lewat.

    fakir: saya setuju, moga kita ambil iktibar…

  10. April 20, 2008 1:06 pm

    kisah anda ini membuatkan saya terharu. wateve it is, life goes on aite 🙂

    fakir: setuju, hidup mesti terus.la tahzan (jangan bersedih)…

  11. April 21, 2008 9:11 am

    ya….
    Hari raya pertama tanpanya rasa sungguh x bermakna… ayah pergi selepas sepuluh bulan menderita.. harap kita dapat berbakti di saat2 terakhirnya… disebabkan tahu ayah hanya menunggu masa…kami redha dengan ketentuanNya… tanpa airmata… airmata hanya mengalir selepas kenduri tahlil hari ke-40 pemergiannya diiringi demam yang berpanjangan..,

    fakir: banyakkan bersabar, al-fatihah

  12. April 21, 2008 1:40 pm

    betapa terharu dan sebak membaca bait-bait kata di sini. sesungguhnya mati itu adalah pasti. namun, membacakan baris kata di sini mengingatkan diri supaya menghargai pada apa yang masih ada.

    al-Fatihah.

    fakir: hargai apa yang ada..

  13. risanur permalink
    April 22, 2008 5:53 am

    moga dirimu akan tetap tabah dan sabar dlm menempuh hidup ini…agar segala tunjuk ajar yg diberikan menjadi panduan hidupmu..

    fakir: terima kasih, insyaAllah…

  14. Usagi permalink
    April 23, 2008 1:05 am

    Aku rindu kat ayah aku.

    fakir: cuti balik, cium tangan dia…rajin2la ke dapur juga masak untuk dia:)

  15. April 25, 2008 4:23 am

    i miss my daddy too. 😦

    fakir: so do i…

  16. zoo permalink
    April 26, 2008 3:52 am

    first time singgah.. click from bluehikari..
    tak sempat nak surf allpage.. but then a good true story utk AYAH..
    be tough!! time aku sibuk nk smbut bday ada someone yg pergi jauh…

    fakir: tabah adalah penawar paling mujarab..

  17. April 28, 2008 3:55 pm

    ameer….i still remember that day …everyone talking bout it and sms been fwd to all our classmate… i know its hard for you ..newey aku rase ayah ko pasti dah berbangge dengan kejayaan ko now….aku pasti kalo ayah ko ade die akan senyum dgn ko dgn diploma ko semua….hope ko tabah ….

    aku nangis sey bace….tterkenang arwah atok aku … aku rindu arwah atok aku gak … 🙂

    fakir: yang hidup pasti mati, kita menunggu masa

  18. Mei 27, 2008 4:52 am

    kita serupa..ingin menitis air mata semasa membaca tapi terpaksa ditahan kerana di dalam waktu kerja…teringat yg telah tiada tp rasanyer saya tidak sebaik saudara…

    fakir: tak apalah, anak yatim lebih mudah menjadi anak soleh…doa

  19. fila permalink
    Ogos 17, 2008 3:14 pm

    amer..
    my friend kan, dia nanges gle bc entry nh..

    fakir: moga dapat pengajaran…

  20. iz_nfmy permalink
    Ogos 29, 2008 7:08 am

    salam…
    kite mempunyai kenangan yg hampir sama.. saat membaca entri ini air mata mengalir tanpa dipinta..aku juga telah kehilangan ayahanda tercinta ketika berusia 14 tahun… kehilangan yang hampir membuatkan aku hilang arah..tp syukur aku masih mampu meneruskan kehidupan seperti biasa…cuma kenangan bersamanya tidak bisa kulupakan sampai bila2..
    buat yang masih punyai ibu dan ayah berusahalah membahagiakan mereka sedayanya…moga2 kita berpeluang bertemu dengan mereka di syurga nanti..aminn

    fakir:amin…moga kita jadi anak yang soleh 🙂

  21. tqah permalink
    September 5, 2008 11:14 am

    syukurlah kepada mereka yang masih mempunyai ibu dan ayah..
    jadilah anak yg soleh/solehah..
    ada insan yang lebih perit merasai dugaanNya..

    fakir: perit dalam rindu yang tak tertanggung…;(

  22. September 25, 2008 5:06 am

    Allahuakbar!
    Allahuakbar!
    Allahuakbar!
    Allahuakbar!
    Allahuakbar!
    Allahuakbar!
    Allahuakbar!
    Walillahilhamd!

    Maha Suci Allah, Tuhan sekalian umat. Alhamdulillah berkat kurniaanNya, kita panjatkan kesyukuran padaNya kerana sekali lagi diberkan izin untuk melalui detik detik indah penuh keberkatan di Ramadhan al-Mubarak ini. Hampir sebulan saat itu, semoga amal ibadah yang kita jalankan diterima oleh Allah. Kini detik detik penuh rahmat itu hampir berlalu. Al-Mubarak kini hampir ke penghujungnya. Sesungguhnya yang menanti kita adalah satu kemenangan dalam menangani dan melawani gelodak nafsu insani. Syawal yang bakal berkunjung adalah saksi pada detik kemenangan itu.

    Syukur Allhamdulillah, di sepanjang Ramadhan ini, aku dilimpahi dengan kesihatan yang baik bagi membolehkan aku menjalani ibadah di Ramadhan ini. Walaupun sedikit terganggu pada awal minggu ini, namun aku mampu bertahan dan menyempurnakan tuntutan itu sehingga tibanya Iftar. Alhamdulillah, sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah sendiri.

    Puasa pada tahun ini amat besar ertinya buat aku. Inilah kali pertama aku menyambutnya di rumah aku sendiri. Walaupun bersendirian sewaktu iftar, sedikit pun tidak aku ambil pusing. Mungkin tertulisnya begitu dan aku pasrah. Namun berbuka puasa di rumah sendiri amat besar ertinya buat aku. Ia satu kepuasan yang mungkin tidak dapat dicari di tempat lain. Jika selama ini aku hanya bertumpang teduh di tempat yang aku sewa, kini semuanya berubah. Dengan izin dan rezeki dariNya, aku kini memiliki rumah sendiri. Selain itu, Ramadhan kali ini banyak menghadiahkan kenangan manis dalam hidup aku. Mungkin senyuman dapat menggambarkan rasa kesyukuran itu.

    Sekali lagi, syukur pada Illahi kerana mengizinkan aku untuk menikmati indahnya Mubarak ini. Kadang kadang teringat wajah kedua-dua orang tua yang telah pulang ke rahmatullah beberapa tahun lalu. Semasa hayatnya, dialah yang banyak jasa hinggakan suasana raya meriah. Tapi semua tinggal kenangan. Akan tetapi nostalgia silam menggamit rindu bila terkenang masa silam pada awal tahun 70an dan 80an.

    Terkenang juga wajah-wajah yang ku kenal, tapi kini telah tiada di alam fana ini lagi. Hanya doa kudus dapat ku pohon, moga roh mereka tenang di alam sana. Pada mereka yang yatim, pada mereka yang malang, aku doakan agar diberikan Allah kekuatan untuk mereka melalui hari hari mendatang dengan penuh kesabaran dan keredhaan. Semoga hidup yang penuh cabaran dilimpahi barakah dari Pencipta Yang Maha Esa.

    Kini, detik detik indah Ramadhan hanya membilang hari sebelum berlalu pergi. Terasa hiba sejenak mengenang andai nanti aku tidak berkesempatan lagi menikmati rahmat Ramadhan di masa hadapan. Masih adakah peluang untuk aku menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang akan datang? Atau inilah yang terakhir kali? Maha Suci Allah, hanya Engkaulah Yang Maha Mengetahuinya.

    Fajar Syawal bakal menyusur nanti. Satu lembaran baru tercipta lagi. Insya’allah. Dalam kesempatan yang ada ini, aku menyusun sepuluh jari, dari hati yang tulus memohon ampun dan maaf andai ada terkasar bahasa, tersilap kata, mohon diampunkan kesilapan itu. Sesungguhnya aku manusia biasa, punya salah dan khilaf. Aku doakan semoga semuanya berbahagia dan tenang di samping keluarga tersayang dan insan tercinta pada Syawal nan mulia ini..

    Salam Aidil Fitri 1409H.
    Wassalam.

    Salam dari kami seisi keluarga,

    MOKHTAR
    Kuantan, Pahang.
    mobile: 016 9595282 e-mel: lebaisulong@gmail.com

    fakir: Alhamdulillah….syukur padanya.

  23. fazrieha permalink
    Julai 29, 2009 9:33 am

    mungkin dari pengalaman yang dilalui menjadikan amir, seorang Amir yang sekarang..such a great PERSON!!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: